Jan 7, 2016

AMANAH BAKAL ISYTIHAR RAMPASAN KUASA PAS DI SELANGOR






Sikap pimpinan AMANAH di Selangor yang kian agresif dalam menuntut kuasa dari Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Azmin Ali merupakan satu ugutan dalam memberi isyarat agar PAS mesti disingkirkan segera dalam pentadbiran Kerajaan tersebut.

Malah kejayaan Parti Amanah Negara (AMANAH) mendapat kerusi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor bukti kejayaan mereka membuli PAS.

Setiausaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Selangor, Budiman Mohd Zohdi berkata, AMANAH tidak berhak mendapat kuota kerusi tersebut kerana mereka tidak mempunyai sebarang jasa kepada rakyat Selangor.

Malah, katanya kemenangan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) AMANAH Selangor iaitu Shaari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) atas tiket PAS.

“Saya lihat memang PAS kena buli. Apa kayu ukur AMANAH mendapat lapan kerusi PBT sedangkan parti ini baru berapa hari ditubuhkan dan belum ada apa-apa jasa di Selangor?

“Mereka hanya ada dua kerusi itupun bukan yang mereka menang atas tiket parti AMANAH tetapi atas tiket PAS , tiba-tiba buli PAS minta macam-macam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghantar nota bantahan pesawah di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, di sini, hari ini.

ADUN Sungai Panjang itu tidak menolak kemungkinan AMANAH selepas ini akan membuat tuntutan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk memberi kerusi EXCO kepada parti itu.

“Selepas ini AMANAH akan tuntut kerusi EXCO pula kerana mereka ada hak untuk dapat jawatan tersebut,” katanya

Sehubungan itu, Budiman menyeru kepada Kerajaan Selangor supaya tidak terlalu bermain politik sehingga mengabaikan isu rakyat.

Nada yang sama turut diutarakan oleh penyelaras BN Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan yang melihat DAP Selangor sebuah parti politik yang besar kepala.

Katanya, tindakan DAP tidak menyerahkan kuota kepada AMANAH bukti parti itu gilakan kuasa untuk mentadbir Kerajaan Selangor.

“DAP tidak seharusnya besar kepala dalam hal ini (pemberian kerusi PBT pada AMANAH), ini jelas menunjukkan DAP ini hendak menjadi parti yang dominan serta ingin menjadi diktator dalam pentadbiran Kerajaan Selangor,” katanya.

ADUN Batang Kali itu berkata, tindakan DAP untuk tidak menyerahkan sebahagian kerusinya kepada AMANAH dilihat sebagai tekanan supaya PAS keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri.

“Bagi saya tiada sebab untuk PAS bagi kerusi kepada (AMANAH) kerana mereka diiktiraf oleh Azmin bahawa parti itu satu komponen dalam pentadbiran kerajaan negeri. Apa rasionalnya PAS nak beri kerusi mereka kepada AMANAH?

“Tindakan DAP tidak memberi kerusi kepada AMANAH juga satu tekanan yang dibuat kepada PAS untuk keluar daripada gabungan Pakatan dengan membuat desakan-desakan sedemikian, bagi saya PAS tidak harus tunduk dengan desakan DAP itu,” katanya.

Katanya, tindakan PKR mengorbankan kerusinya PBT yang dimilikinya menunjukkan parti itu sudah hilang kredibiliti.

“PKR tiada pilihan, kalau PKR korbankan kerusinya untuk AMANAH bermakna parti itu sudah hilang kredibiliti kerana gagal mempertahankan kedudukannya dalam PBT,” katanya.

0 comments:

Powered by Blogger.