Feb 26, 2013

TERKINI - AKTIVIS OKU DAKWA MANIFESTO PAKATAN HINA GOLONGAN CACAT.






 

Aktivis Orang Kelainan Upaya (OKU) melahirkan rasa kesal dan terhina kerana Pakatan Rakyat tidak memuatkan janji untuk menjaga kebajikan golongan tersebut.

Kekecewaan itu antaranya disuarakan pengerusi Mobiliti Massa OKU Bangkit, Mohd Rosli Ibrahim yang berkata, manifesto tersebut sepatutnya menyenaraikan rancangan pembangunan untuk kepentingan golongan tersebut.

"Sebenarnya saya kesal dengan apa yang ada dalam manifesto Pakatan Rakyat. Dalam manifesto, apa yang kita harapkan ialah satu klausa mengenai pembangunan OKU secara menyeluruh.

"Kita OKU Bangkit dah sertai Himpunan Kebangkitan Rakyat, mengadakan pertemuan dengan ahli Parlimen. Kenapa dalam manifesto Pakatan Rakyat tak ada (sebut tentang OKU). Pelik.

"Saya rasa ahli politik ini tidak melihat isu OKU ini isu besar. Kenapa tiba-tiba abaikan? Kami rasa terhina. Sebenarnya mereka ini hanya berfikir tentang kepentingan politik dan masih dalam paradigma duit. Sama seperti BN," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Rosli berkata, Pakatan sepatutnya berjanji untuk menyediakan hak pendidikan dan aksesbiliti awam terhadap golongan OKU.

OKU Bangkit juga menuntut agar Pakatan membentuk kementerian khas untuk menjaga kepentingan golongan itu, katanya yang memberi amaran bahawa golongan tersebut mungkin tidak akan memberi sokongan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Mereka tidak lihat bahawa golongan OKU ini sebagi satu konsep pembangunan insan. Itu masalahnya. Saya nak cakap bahawa, Pakatan Rakyat akan kehilangan doa daripada golongan OKU pada pilihan raya umum akan datang," katanya. 

Sementara itu, aktivis yang juga merupakan seorang kartunis popular, Mohd Affandi Ramli pula berkata, manifesto Pakatan sepatutnya menggariskan pusat latihan percuma untuk golongan OKU.

Namun, Pakatan mungkin tidak berminat dengan perkara seperti itu, katanya.

"Kalau kita lihat manifesto itu banyak sentuh tentang kebajikan rakyat, tetapi kenapa tak ada tentang keperluan untuk OKU. Golongan OKU sangat memerlukannya bukan sekadar penerimaan bantuan subsidi tetapi beri peluang yang sama rata.

"Kalau boleh adakan sekolah khas serta pusat latihan percuma. Ini kita pernah usulkan tetapi saya rasa mereka tak berminat. Sebenarnya ramai golongan OKU yang berpotensi ini telah dibunuh oleh pemerintah khususnya OKU yang terlantar yang meninggal dunia dalam keadaan menyedihkan," katanya.

Beliau juga berkata, tuntutan daripada golongan berkenaan akan dibincangkan dalam satu dialong anjuran OKU Bangkit bersama Pakatan Rakyat di Dewan Himpunan Cina Selangor Kuala Lumpur pada 3 Mac.

"Jemputan dah beri. Jadi kita tunggulah sahajalah siapa yang akan hadir nanti," katanya lagi.

0 comments:

Powered by Blogger.