Dec 22, 2012

KDN ULAS KEMATIAN AHLI MILITAN MALAYSIA DI FILIPINA.








Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menasihatkan rakyat Malaysia agar sentiasa menjaga ahli keluarga masing-masing oleh kerana gerakan militan sentiasa mempengaruhi orang ramai untuk menyertai mereka.

Minggu lalu, seorang rakyat Malaysia, Mohd Noor Fikrie yang disyaki ahli kumpulah Jemaah Islamiah (JI) ditembak mati oleh polis di Davao, Filipina selepas dia disyaki memiliki alat letupan.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihati semua rakyat Malaysia untuk berwaspada dengan pergerakan ahli keluarga mereka.

“Ini bagi mengelakkan ahli keluarga kita dari dipengaruhi dan mudah tertipu oleh mana-mana ideologi serta pergerakan militan yang menyokong keganasan,” kata menteri dalam negeri itu dipetik dari Mstar Online.

Jenazah Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, 26, dikebumikan pada 7 pagi semalam dalam keadaan hujan renyai dengan dihadiri hampir 100 anggota keluarga dan kenalan.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di perkarangan Masjid Jamek Temenggong Daeng Abdul Rahman, pada 5.30 pagi setelah diterbangkan dari Davao, Filipina pada 9 malam tadi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, pada 1 pagi.

Jenazah kemudian dibawa pulang dengan menaiki van jenazah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ke kampung halamannya di Kampung Parit Abdul Rahman dekat sini, untuk dikebumikan.

Suasana hiba dan sedih menyelubungi perkarangan masjid sebaik kenderaan membawa jenazah itu tiba.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan sebaik solat subuh dengan diketuai Imam III, Rahmat Roduan bersama lebih 100 jemaah.

Sementara itu, bapa Allahyarham Abd Kahar Sirun, 53, turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana menguruskan urusan membawa pulang jenazah anak sulung daripada empat beradik itu.

Dilaporkan sebelum ini bahawa Mohd. Noor Fikrie ditembak mati oleh polis Filipina di sebuah hotel di Davao, Jumaat lalu selepas bergelut dengan pihak polis yang ingin memeriksa beg sandang berisi bom buatan sendiri dibawa isterinya.

Oktober lalu dua rakyat Malaysia ditahan di Lebanon kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas al-Qaeda dan merancang melakukan serangan ganas di negara berkenaan.

Kedua-dua mereka, Razif Mohd. Ariff, 30, dan Muhamad Razin Sharhan Mustafa Kamal, 21, ditangkap perisikan tentera darat Lebanon pada 25 Oktober lalu di sebuah hotel di Beirut Hamra dan diserahkan kepada Tribunal Ketenteraan untuk siasatan dan tindakan lanjut.


0 comments:

Powered by Blogger.