Oct 30, 2012

KU NAN SAHKAN TERIMA DOKUMEN SENARAI CALON PRU13 PEMBANGKANG.







Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendedahkan bahawa parti itu sudah mengetahui calon-calon yang akan dinamakan oleh komponen Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umumke-13 (PRU13).

Malah ujar beliau,"tiap-tiap dokumen mereka pun kita ada.”

“Siapa calon mereka pun kita tahu, tapi kita diam sahaja lah.

“Hari ini baru saya sebut," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menerima penyerahan buku 100 Wira Negara daripada Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak).

Tengku Adnan berkata demikian apabila diajukan soalan berhubung satu dokumen Barisan Nasional (BN) yang didakwa terlepas ke tangan komponen PR Pulau Pinang.

“Kita juga ada dokumen daripada puak pembangkang. Tapi kita tidak buat bising tak macam mereka. Mereka buat bising.

“Kalau ada mereka akan cerita, kita pun tahu apa yang ia (pembangkang) laksanakan tetapi kita diam sahaja,” kata Tengku Adnan.

Menurut Tengku Adnan lagi, dokumen yang didakwa bocor itu hanya mengandungi butiran tentang kesiapsiagaan parti dalam menghadapi pilihan raya umum.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar barisan kepimpinan di semua peringkat agar menyimpan dengan sebaiknya dokumen yang diberikan dan menganggapnya rahsia supaya tidak jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Saya sudah tulis surat kepada 13 parti komponen Barisan Nasional supaya mereka berhati-hati dan anggap setiap dokumen yang diedarkan sebagai rahsia,” ujar Tengku Adnan lagi.

Menurut beliau, siasatan kini sedang dilakukan untuk mengesan bagaimana kebocoran dokumen itu boleh berlaku dan akan menyerahkan kepada presiden parti untuk mengambil tindakan lanjut sekiranya nama individu terbabit sudah diperoleh kelak.

“Barangkali ini dia terletak di merata-rata, barangkali beliau tidak berniat, dalam pejabat itu, rambut sama hitam, hati lain-lain,” ujar beliauyang juga Setiausaha Agung BN.

“Barangkali pada dia ini bukan dokumen rahsia sebab kita tidak cop rahsia, tetapi yang pembangkang, dia cop rahsia pun kita ada,” katanya disambut gelak tawa wakil media.

0 comments:

Powered by Blogger.