Aug 31, 2012

PENGALAMAN LELAKI LAHIR 15 MINIT SEJURUS BENDERA UNION JACK DITURUNKAN.








Dilahirkan 15 minit selepas bendera Union Jack diturunkan 55 tahun lalu tidak ‘membutakan’ mata Merdeka Othman terhadap kesengsaraan yang dilalui generasi yang hidup pada zaman penjajahan.

Sebaliknya kata lelaki itu, beliau diingatkan mengenai perkara tersebut setiap kali namanya dipanggil.

Justeru, saya berharap generasi muda sentiasa menghargai nikmat kemerdekaan dan tidak mengambil risiko sehingga mengundang semula penjajah ke negara ini, katanya ketika ditemui bernama, di Beseri dekat sini hari ini.

Merdeka yang berbangga meraikan ulang tahun kelahirannya bersama sambutan Hari Kemerdekaan negara, berkata nama beliau itu menyebabkannya diejek ketika zaman kanak-kanak.

Memang masa kanak-kanak dahulu cukup janggal kerana diejek, namun kini saya berbangga, katanya yang sering diundang ke majlis sambutan hari kemerdekaan baik peringkat negeri mahupun kebangsaaan setiap kali tiba tanggal 31 Ogos.

Merdeka yang bertugas sebagai pembantu perawat pergigian di Klinik Kesihatan Beseri berkata jika negara tidak aman, beliau sudah pasti tidak berpeluang untuk menghadiri majlis yang berkaitan dengan kemerdekaan negara.

Sehubungan itu, beliau berharap setiap rakyat Malaysia menanam semangat jati diri terhadap negara dan berjihad ke arah memastikan negara terus merdeka daripada sebarang bentuk penjajahan yang merugikan.

Merdeka berkata pemimpin terdahulu telah meletakkan asas perpaduan yang kukuh untuk membawa negara mencapai kemerdekaan dan asas itu tidak boleh dirobekkan dengan mainan politik sempit.

“Saya bersyukur dengan kemakmuran dan keamanan negara sebagaimana saya bersyukur memiliki nama Merdeka,” katanya.

Katanya, beliau sentiasa berdoa kemamuran dan keamanan terus berkekalan dan rakyat tidak terhimpit dengan perbuatan yang boleh merosakkan negara.

0 comments:

Powered by Blogger.