Aug 22, 2012

TERUS TIKAM BELAKANG - HAIRAN KERJASAMA 'LUAR BIASA' KERAJAAN BN & MALAYSIAKINI..!!







Malaysiakini yang sidang redaksinya diketuai Ketua Pengarang, Fathi Aris Omar dan Ketua Pengarang Kumpulan dan pengasas, Steven Gan menimbulkan persoalan tentang integriti media.

Kita, sebahagian besar rakyat negara ini tidak tahu apa yang berlegar dalam fikiran sidang redaksi portal berita ini. Apa sebenarnya definisi media dan agenda Malaysiakini. Portal ini dilihat terlalu memihak. Pengaruh DAP begitu ketara di dalamnya. 'Penyaringan' berita di Malaysiakini begitu ketat. Jika 10 berita memaparkan laporan positif kerajaan, sembilan daripadanya 'dilepaskan' dalam bentuk seolah-olah tidak ada kebaikan langsung di pihak kerajaan. Asyik menghentam, sinikal dan berita diolah dalam bentuk memperlekehkan kerajaan.

Apakah Malaysiakini akan menjadi seperti pakatan pembangkang yang cuba mengubah asas kenegaraan?

Banyak kali sidang akhbar melibatkan Perdana Menteri negara ini khususnya bermula dari yang keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad; kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini, Datuk Seri Najib Tun Razak, hasil penyiaran oleh portal ini begitu di 'luar jangkaan'. Apatah lagi jika ia membabitkan 'cuma' kenyataan-kenyataan oleh menteri. Habis dipokahnya.

Apakah Malaysiakini boleh berbangga sebagai sumber berita bebas tetapi realitinya ia langsung tidak mendukung nilai-nilai berkenaan?

Suatu ketika kita, rakyat Malaysia didedahkan dengan sajian berita daripada portal ini yang bertajuk: "Pengundi baru: Pagi ini PR, petang warganegara". Ia kisah seorang yang bernama Mismah yang dikatakan diberikan taraf warganegara dalam masa 4 jam. Selepas dapat status warganegara, Mismah yang pada awalnya memiliki IC Merah (PR) dikatakan sudah didaftarkan sebagai pengundi.

Namun, ternyata apa yang dibongkarkan oleh wartawan Malaysiakini adalah pembohongan besar.

Dakwaan bahawa Mismah menjadi warganegara dalam tempoh 4 jam setelah mendapat PR ternyata tidak benar. Rekod Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan dia telah mendapat taraf Penduduk Tetap pada 17 Julai 1982. Mismah diluluskan Taraf Kewarganegaraan Malaysia pada 31 Januari 2011 di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan selepas 29 tahun memegang taraf Penduduk Tetap Malaysia.

Hampir heboh satu negaralah dibuatnya Malaysiakini. Itu belum termasuk dikeluarkan berita bahawa kononnya cerita kenyataan PM Bangladesh yang rakyatnya diberi Mykad dan boleh mengundi. Dan dalam banyak berita, Suruhanjaya Pilihan Rayalah yang paling kerap menjadi 'mangsa' portal berita ini. Tidak ada belas kasihan langsung.

Suatu ketika gelagat wartawan Malaysiakini ketika membuat liputan juga cukup merisaukan saya. Pernah di depan saya dan para wartawan lain sekitar pertengahan tahun lepas, gelagat wartawan portal berita ini ketika berada dalam majlis agak menjengkelkan.

Ketika semua orang berdiri untuk menghormati lagu korporat SPR yang sebelum itu didahului nyanyian lagu NegaraKu di lobi SPR, Putrajaya itu, dia tanpa rasa bersalah, duduk menghadap nasi bungkus ambeng. Makan, seolah-olah di sekeliling tidak ada pemerhati sehinggakan ada yang prihatin cuba melemparkan sepotong rock melon terhadapnya.

Tapi mujurlah rock melon yang entah siapa pelemparnya tidak hinggap terus kepadanya. Tetapi sudah cukup menyedarkan salah seorang daripada rakan di sebelahnya untuk bingkas bangun serta-merta menyertai sama hadirin menghormati lagu berkenaan. Tapi si wartawan portal ini terus dengan lagaknya.

Kita, rakyat negara ini cukup risau dengan bentuk agenda yang dibawa Malaysiakini. Check and balance tidak banyak diperjuangkan. Bukan seorang dua membidas agenda Malaysiakini. 'Mangsa' yang acap kali digodak mereka termasuklah Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof yang sering kali terpaksa mempertahankan kredibiliti dan kewibawaan suruhanjayanya daripada terus ditohmah oleh Malaysiakini.

Antaranya, beliau sendiri terpaksa mengeluarkan kenyataan keras menyifatkan Ong Boon Keong dari Malaysia Election Observation Network (MEO-Net) sebagai pembohong besar. Ini berikutan dakwaan Boon Keong semasa pilihan raya negeri Sarawak April tahun lepas yang disiarkan dalam Malaysiakini bahawa berlaku keadaan kertas undi berlebihan daripada jumlah pemilih berdaftar di pusat mengundi SK Pasai Siong Tengah.

Sedangkan siasatan SPR mendapati dakwaan itu tidak benar. Semakan SPR mendapati nama pusat mengundi SK Pasai Siong Tengah yang dimaksudkan Boon Keong juga tidak wujud dan bukan pusat mengundi yang telah diwartakan oleh SPR sebagai pusat mengundi bagi pilihan raya DUN Sarawak Ke-10.



 



Kes-kes laman web yang memaparkan pornografi, mencerca raja-raja Melayu, menghina Islam atau memperkecilkan budaya orang lain adalah isu sensitif dalam negara ini. Namun, kekurangan bukti dan ketiadaan pakar forensik komputer antara perkara yang menyebabkan pihak berkuasa gagal membawa beberapa kes penghinaan dan hasutan yang berlaku dalam laman web ke mahkamah.

Soal pokok untuk pendakwaan ialah bukti yang kukuh dan mencukupi. Apabila disiasat, kebanyakan bukti telah dipadamkan dan gagal dikesan.

Barangkali jugalah Malaysiakini yang hampir setiap hari menyiarkan berita-berita berbau sentimen sukar diambil tindakan oleh kerana mungkin juga pelayan webnya berada di luar negara. Dan ia mungkin juga mendatangkan kekangan buat pihak berkuasa untuk bertindak termasuk dari aspek fizikal.

Lagipun, dalam banyak keadaan apabila pihak berkuasa membuat serbuan ke atas laman web yang memaparkan elemen berbaur hasutan, mereka dengan licik akan memadamkan terus cakera padat (CD) dan apabila perisiannya dimusnahkan, maka SKMM kena menelitinya secara perkomputeran, ia memakan masa dan rumit.

Banyak kes berbaur sentimen, hasutan dan perkauman di Internet menimbulkan keresahan rakyat.

Malaysiakini dan portal-portal berita lain perlu bersama-sama bertanggungjawab mengekang elemen ini. Jangan kerana 'mengejar' Pilihan Raya Umum Ke-13, segalanya jadi tak kena di mata rakyat.

Nukilan Penulis dari Utusan Malaysia.


0 comments:

Powered by Blogger.