Jul 20, 2012

MB KEDAH DIDAKWA SUBAHAT ROMPAK SAHAM FELDA..!!









Tindakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak menafikan pembabitan dalam isu pembelian saham Felda Global Ventures Holdings (FGV) hanya untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sebagai Menteri Besar, Azizan yang juga Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) pasti tahu mengenai pembelian 500,000 unit saham FGV itu.

"Saya pernah menjadi Menteri Besar dan Pengerusi PKNK. Setiap cek melebihi RM1 juta yang dikeluarkan oleh PKNK mesti ditandatangani oleh salah seorangnya ialah pengerusi," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata dalam kes FGV yang harga sahamnya RM4.55 seunit itu, PKNK perlu mengeluarkan cek bernilai RM2.275 juta.

"Cek untuk tujuan itu mesti ditandatangani oleh Azizan dan saya hairan kenapa dia berbohong kepada rakyat dengan mengatakan ‘terlepas’ dari pengetahuannya," katanya.

Mahdzir berkata sikap Azizan itu amat dikesali kerana sering mengambil pendekatan 'melepaskan diri' dan enggan bertanggungjawab terhadap mana-mana isu yang tidak berpihak kepadanya.

"Isu ini sebenarnya bukan ‘terlepas’ tetapi ‘melepaskan’," katanya.

Baru-baru ini, PKNK telah membeli 500,000 unit saham FGV pada harga RM4.55 seunit walaupun pakatan pembangkang menolak keras penyenaraiannya di bursa saham.

Azizan ketika ditanya mengenai pembelian saham itu, dilapor berkata ia 'terlepas' daripada pengetahuannya dan menyifatkannya sebagai amalan biasa kerana PKNK memang diberi hak untuk membeli mana-mana saham yang difikirkan mampu menjana keuntungan.

PKNK kemudian diarah menjual kembali saham terbabit.-

0 comments:

Powered by Blogger.