Jul 26, 2012

BEKAS PEMIMPIN GERAKAN BEBAS TUDUHAN KHIANAT..!!








Bekas Ahli Jawatankuasa Parti Gerakan bersama anak lelakinya dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam dari tuduhan melakukan khianat di pejabat parti berkenaan, enam tahun lalu.

Keputusan membebaskan Ong Mun Hong,60, dan Ong Chun Keat, 30, dibuat Majistret Nik Habri Muhamad selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan khianat dan mengakibatkan kerugian serta kerosakan di Aras Mezzanine, pejabat berkenaan di sini, pada jam 3 petang, 29 Julai 2006.

Nik Habri dalam keputusannya berkata, mahkamah tidak ada sebab untuk menolak pembelaan kedua-dua tertuduh yang juga saksi pembelaan pertama dan kedua kes berkenaan.

“Mahkamah dapat melihat sendiri mereka adalah saksi yang berkredibiliti dan keterangan mereka boleh dipercayai lebih-lebih lagi disokong pula keterangan saksi keempat yang berada di tempat kejadian,” katanya.

Nik Habri sebelum membuat keputusan terlebih dulu memberi peringatan kepada kedua-dua pihak supaya bertenang serta menerima dan menghormati keputusan mahkamah.

Selesai prosiding, dua beranak itu serta merta berpelukan sambil Chun Keat dilihat mengalirkan air mata.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd Hafiz Abd Rahman dan peguam bela, Mohd Yusoff Yakob.

0 comments:

Powered by Blogger.