Dec 3, 2011

MESYUARAT MT - PERWAKILAN T'DENGAR NAJIB UMUM SECARA SULIT TARIKH PRU13 !!?







Di sebalik cakap-cakap kononnya Perhimpunan Agung UMNO ke 62  adalah  yang terakhir sebelum PRU-13, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjawab spekulasi itu dengan berkata, “ itu orang sebut”.

Ini bermakna Presiden UMNO itu terus berteka-teki mengenai tarikh sebenar pilihan raya yang disifatkannya ‘paling getir’ dalam sejarah tanah air.

Bagaimanapun, Najib dalam ucapan penggulungan pada hari terakhir  perhimpunan petang Sabtu berkata, UMNO mahupun BN dalam tahap siap siaga yang amat baik.

Teka teki itu diperkuatkan lagi apabila ditanya dalam sidang media selepas PAU, sama ada beliau sendiri akan sebut, Najib menjawab, “ Itu dah bagi cue (petanda),”

Dalam ucapan hampir sejam itu, Najib menegaskan jika  pemimpin dan orang UMNO semua boleh taat setia, BN boleh menang bila-bila masa pilihan raya diadakan.

“Ini ujian paling besar. Apa kita cakap (masa perhimpunan) kita bawa balik kawasan. Jangan sengketa lagi. Lihat Ketua Bahagian jangan menyampah lagi, jangan lihat mereka nak jawatan kita... manakala yang lain berilah kerjasama,” ujarnya.

Katanya, analisa pilihan raya lalu mendapati kekalahan disebabkan ada orang UMNO khianati parti sendiri.

Najib menegaskan, PRU kali ini adalah paling getir dalam sejarah tanah air.

“Pilihan raya ini adalah titik penentuan sama ada kita mahu melihat masa depan cerah benderang bagi Malaysia sebuah negara maju dengan memilih UMNO dan Barisan Nasional atau menempa jalan trajis penuh kehancuran dengan memilih pembangkang,” tegas beliau.

Pengerusi BN itu mengingatkan bahawa pilihan raya kali ini bukan tentang UMNO dan Barisan Nasional tetapi akan menentukan untung nasib orang Melayu atau jadi ‘melukut tepi gantang’.

Sehubungan itu, beliau meminta semua orang UMNO berjuang bersama-samanya dalam pilihan raya bagi mengekalkan kuasa agama Islam, Melayu dan institusi Raja-Raja.

Dalam ucapannya, Najib menyentuh sikap pemimpin pembangkang khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ‘pandai berkokok, macam ayam tapi telor satu, kadang-kadang tak bertelor kerana ayam jantan,”.

“Kokok sana, kokok sini. Fitnah sana, fitnah sini. Bohong tak berhenti-henti. Kemudian kata, kamilah juara tetapi parti kucar kacir. Itulah pembohong terbesar,” katanya.

Malah menurut Najib, bukan sahaja beliau diserang fitnah selama tiga tahun tanpa berhenti bahkan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor turut kena serang.

 “Empat kali (saya)  bersumpah di masjid. Saya nak tanya (Anwar), berapa kali dia bersumpah dalam dan luar masjid atau junjung al-Quran?...Dalam mahkamah pun tak sanggup sumpah,” ujar beliau.

[IMG]/images/stories/perwakilansokong513.jpg[/IMG]Najib berkata, kes liwat Ketua Pembangkang itu bukan kes politik tetapi kes Anwar lawan Mohd Saiful Bukhari.

“Macam inikah orang nak jadi PM?,” katanya sambil menjelaskan segala rahsia Anwar ada pada DAP kerana melantik pengerusi parti itu sebagai peguam dalam kes liwatnya.

“DAP ada segala-galanya. Sebab itu jalan mengepak. Semua (rahsia Anwar) dalam tangan dia,” ujar Najib.

Mengenai PAS yang dipanggilnya ‘bangang’ pada PAU lalu, kali ini Najib menggelar PAS sebagai kedalun. 

“Nak kata kedalun sebab dah tahu diperkuda DAP (tetapi terus) diperalat oleh DAP. Kalau perjuangan atas nama Islam tinggalkan DAP, tetapi kerana nak kerusi mereka berpakat,” tegas Najib.

Perdana Menteri berkata, beliau bercakap soal pembangkang untuk yakinkan rakyat bahawa kalau ada pembangkang seperti ini, negara tidak boleh diserahkan kepada mereka.

Penulis : Roslan Bian dari Agenda News.


0 comments:

Powered by Blogger.