Nov 19, 2011

SERANG DI MALAYSIA - BUSH HINA MAHATHIR KRONI SADDAM HUSSEIN!!?





PERBICARAAN terhadap bekas Presiden Amerika Syarikat, George W Bush dan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair di Kuala Lumpur esok, atas tuduhan melakukan perbuatan jenayah dalam peperangan Iraq adalah sesuatu yang amat menarik untuk diikuti.

Jarang sekali kita dengar ada negara sanggup melakukannya. Bush dan Blair adalah dua pemimpin Barat yang bertanggungjawab mengetuai serangan di Iraq atas alasan ia memiliki senjata pemusnah besar-besaran (WMD). Pemimpin Iraq, Saddam Hussein ditangkap dan kemudian dikenakan hukuman mati.

⁠Dalam serangan terhadap negara terbabit, ramai rakyat Iraq yang tidak berdosa menjadi korban. Esok, apabila perbicaraan itu dimulakan, Bush dan Blair mungkin sedang bersantai di sebuah resort peranginan yang indah di Eropah atau Amerika. Mereka tidak ada di negara ini. Pasukan pendakwa mereka ada, peguam bela pun ada. Hakim juga hadir untuk mengadili kes berkenaan.

Walaupun ini hanya perbicaraan simbolik, ia mempunyai makna amat besar kepada dunia. Jika mereka didapati bersalah selepas dibicarakan, yang mereka menikmati kekebalan sebelum ini, dunia akan tahu bahawa Bush dan Blair adalah petualang sebenar. Ketika itu nama mereka akan dimasukkan ke dalam daftar pelaku jenayah peperangan.

Berita Harian melaporkan, perbicaraan simbolik berkenaan dikendalikan Yayasan Tribunal Jenayah Peperangan Kuala Lumpur, salah satu sayap Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perbicaraan empat hari bermula esok hingga Selasa itu akan berjalan seperti prosiding biasa mahkamah. Ia akan diadakan dari jam 9 pagi hingga 5 petang di Bangunan Yayasan Al-Bukhari, Jalan Perdana (hadapan Masjid Negara), Kuala Lumpur. Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai.

⁠Ia akan mengadili sama ada Bush dan Blair melakukan jenayah mencabuli keamanan dan melanggar undang-undang antarabangsa dalam serangan di Iraq, kata Setiausaha Tribunal Kuala Lumpur itu, Datuk Dr Yaacob Hussain Merican.

Katanya: "Oleh kerana kedua-dua mereka kebal daripada pendakwaan, kami ingin membicarakan mereka dalam forum ini bagi membuktikan mereka melakukan jenayah kemanusiaan itu."

Francis Boyle, seorang profesor undang-undang antarabangsa Amerika di Illinois, antara pendakwa pada perbicaraan itu.

Usaha berkenaan dipadankan daripada sebuah panel jenayah peperangan Vietnam 1967 yang dianjurkan di Sweden dan Denmark oleh ahli falsafah, Bertrand Russell dan Jean-Paul Sartre. Tribunal itu mengesahkan tindakan Amerika melanggar Vietnam dan mengebom penduduk awam tetapi tidak diendahkan oleh negara terbabit.

Selain perbicaraan terhadap Bush dan Blair, Tribunal Kuala Lumpur ini akan juga mengadakan perbicaraan berasingan tahun depan terhadap bekas pegawai Amerika seperti Naib Presiden, Dick Cheney, Setiausaha Negara, Donald Rumsfeld dan Peguam Negara, Alberto Gonzales, kata Dr Yaacob.

Sementara itu, hari ini satu persidangan bertemakan The Arab Uprising atau 'Kebangkitan Penentangan Arab' akan berlangsung di Muzium Kesenian Islam di sebelah Bangunan Yayasan Al-Bukhary.

Selain itu satu pameran bertajuk 'Peperangan adalah Jenayah' diadakan di Tingkat 1, Bangunan Yayasan Al-Bukhary dan dirasmikan oleh Dr Mahathir. Seperti perbicaraan Bush dan Blair, persidangan dan pameran berkenaan juga dibuka kepada orang ramai.

Dr Mahathir juga akan menyampaikan ucapan pembukaan pada persidangan itu hari ini. Enam pembentang kertas kerja akan menyampaikan pandangan mengenai isu berkaitan pada sidang sehari itu.

Bekas calon presiden dan anggota Kongres Amerika Syarikat, Cynthia McKinney akan berucap mengenai NATO dan Kebangkitan Arab di Libya, manakala bekas Penolong Setiausaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Denis J Halliday akan menyampaikan kertas kerja bertajuk 'Melakukan Perubahan Tanpa Keganasan – Israel dan Kebangkitan Arab'.

Mungkin ramai rakyat Malaysia sebelum ini pernah mendengar nama Dr Ang Swee Chai, seorang pakar otopedik yang banyak menyumbang tenaga di bumi Palestin yang juga dikenali menerusi buku penulisannya, From Beirut to Jerusalem. Pada persidangan itu beliau akan menyampaikan pandangannya atas tajuk 'Di manakah Kebangkitan Palestin?'

Dua lagi penyampai kertas kerja lain terdiri daripada Dirk Adriaensens dari Tribunal Brussels yang menyentuh tajuk 'Iraq dan Kebangkitan Arab', manakala Prof Michel Chossudovsky dari Universiti Ottawa akan bercakap mengenai 'Peperangan terhadap Libya dan agenda lebih meluas tentera Nato dan AS: Ke arah senario perang dunia ketiga'.

Forum berkenaan sudah tentunya memberi peluang kepada orang ramai termasuk pengkaji sejarah dan pelajar memahami dengan lebih lanjut lagi mengenai kebangkitan penentangan di dunia Arab itu serta campur tangan kuasa Barat, khususnya Amerika dan Britain.

Justeru kita berharap persidangan, pameran dan perbicaraan simbolik anjuran PGPF dan Yayasan Tribunal Jenayah Peperangan Kuala Lumpur, akan membuka mata dunia terhadap sikap berat sebelah pemimpin Barat ke atas Asia Barat.

ARTIKEL Hebat Nukilan Agenda News.

2 comments:

Anonymous said...

Wakil dari PAS takde ke? Oh ya.. lupa plak. PAS cuma parti kampung jo yang hanya merosakkan akidah dan memecahkan umat. Mana ada ilmu utk forum antarabangsa cam ni..Tak ada untung kat depa langsung. Hehe

Anonymous said...

sendiri yg create konspirasi sendiri tanggung laa bro...keadilan akan dituntut

Powered by Blogger.