Jan 2, 2011

JGN. HANTAR AKU KE NERAKA - ARWAH FAIZAL YUSOF.





Jangan Hantar Aku Ke Neraka. Itu merupakan drama terakhir lakonan Allahyarham Faizal Yusof, yang meninggal dunia secara mengejut semalam kerana serangan jantung. Beliau tidak sempat bertemu anak tunggalnya Rayan. Rayan, 3 tahun adalah anak tunggal hasil perkongsian hidupnya dengan bekas isteri,penyanyi, Siti Nordiyana.




Kira-kira dua jam sebelum menghembuskan nafas terakhir, Faizal yang dikejarkan ke Hospital Pusrawi setelah terjatuh di kamar mandi pagi Sabtu telah menyebut nama Rayan beberapa kali.

Sejam kemudian, kira-kira jam 12 tengah hari, kanak-kanak itu telah dibawa ke hospital, tetapi tidak berkesempatan bertemu bapanya setelah Faizal dipindahkan dari wad kecemasan ke unit rawatan rapi kerana komplikasi jantung.

Doktor dikatakan mengambil masa kira-kira dua jam untuk menyelamatkannya setelah jantungnya terhenti, setelah salurannya tersekat. Rayan yang ketika itu sudahpun berada di luar wad, tetapi tidak berpeluang berjumpa bapanya apabila Faizal disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.45 petang.

Menurut abang sulungnya Zulkifli Yusup, Faizal 32, telah secara bergilir-gilir menjaga anak mereka setelah bercerai dengan Siti Nordiyana. Pelakon berbakat itu adalah seorang ayah yang penyayang dan sering menghabiskan waktu bersama anaknya setiap kali tidak berada di lokasi penggambaran.

Berita kematian Faizal telah mengejutkan industri lakonan apabila sms tentang kematiannya tersebar pada tengahari Sabtu, 1 Januari 2011. Ramai yang tidak percaya, terutama mereka yang sama-sama berada di lokasi untuk penggambaran drama berjudul, Jangan Hantar Aku Ke Neraka.

Drama itu adalah yang terakhir lakonannya dan akan disiarkan menerusi slot Telemovie TV9 pada 19 Januari ini jam 9 malam. Ramai rakan-rakan artis telah datang menziarah jenazah Allahyarham yang ditempatkan di Surau At Taqwa, Sentul Utama, kawasan kediaman orang tua Faizal.

Antara mereka yang terawal hadir ialah Hussein Ruffedge, Lisa Surihani, Ziela Jalil, Ady Putra, Rozita Che Wan dan adiknya, Ayu Raudhah, Salina Saibi,Syajiri, Din Mydin, Tasha Aziz dan ramai lagi. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Batu Muda, hari ini jam 10 pagi.

JUTAAN TERIMA KASIH BUAT PORTAL AGENDA NEWS YANG MENYIARKAN LAPORAN INI.

1 comments:

armouris said...

takziah dan al-fatihah! info tentang serangan jantung di SIHAT SELALU - Bagaimana Serangan Jantung Terjadi

Powered by Blogger.