Dec 6, 2010

PENEROKA FELDA IKRAR AKAN LANYAK MAZLAN!!





Masyarakat Felda diingatkan supaya mengetepikan anasir luar yang boleh meruntuhkan institusi hubungan masyarakat Felda yang telah lama bertapak dalam membantu memajukan masyarakat.

Pengerusi Gabungan Warisan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail berkata, semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat Felda harus dipegang teguh dalam memastikan perpaduan dan silaturahim dapat dieratkan.



Sementara itu, siri roadshow GWGF yang masuk hari ke-3 itu turut dihadiri peneroka Felda dari Perlis dan Kedah. Dianggarkan 2,000 hadir, termasuk penduduk setempat. Menurutnya, peneroka tanah rancangan Felda perlu berbangga dengan apa yang dimiliki sekarang, selain taraf hidup semakin meningkat, Felda turut berperanan melahirkan generasi anak muda Felda yang berjaya.

“Sehingga kini, lebih 76,000 anak peneroka Felda telah menjejakkan kaki ke universiti. Felda telah melahirkan generasi baru yang berjaya dalam pelbagai bidang malah menjawat status pekerjaan besar dan hebat. Adalah menjadi tugas mereka yang berjaya untuk memulangkan ilmu dan cara memajukan generasi muda terdiri daripada anak-anak peneroka,” katanya ketika berucap pada Taklimat GWGF di Bawah Model Baru Ekonomi, Sosial dan Pendidikan untuk Generasi Baru Felda Bagi 20 Tahun Akan Datang dan Hari Keluarga Peringkat Negeri Kedah dan Perlis, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi GWGF, Datuk Abdullah Abu Bakar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ketua Pemuda UMNO Kedah, Badrol Hisham Hashim dan Pengurus Besar Felda Wilayah Alor Setar, Abdul Manap Amat.

ROZALI berkata, beliau menubuhkan GWGF untuk menjadi platform dalam membantu membangunkan masyarakat dan generasi Felda dengan memfokuskan kepada tiga bidang yang dikenal pasti iaitu sosial, ekonomi dan pendidikan.

Katanya, GWGF bertindak membantu kerajaan merancang masa depan generasi Felda untuk 20 tahun akan datang melibatkan pembangunan masyarakat Felda dan hala tuju berpegang kepada Satu Semangat Satu Felda.

“Siri jelajah yang dilakukan GWGF ke seluruh pelosok Felda dalam negara ini bertujuan memberi tahu supaya tidak bersusah hati memikirkan masa depan mereka, kerana dengan adanya GWGF, kami akan merancang masa depan untuk 20 tahun akan datang dengan penekanan tiga bidang utama tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, suara muafakat dalam kalangan masyarakat Felda di seluruh negara perlu seiring dengan semangat perpaduan yang tinggi.

Menurutnya, terdapat segelintir pihak yang cuba bertindak memecahbelahkan masyarakat Felda sekali gus perkara itu harus ditangkis agar ia tidak melemahkan usaha masyarakat Felda memajukan diri.

“GWGF yang dianggotai golongan profesional dari Felda, cuba membantu membangunkan masyarakat agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata, GWGF adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada warga generasi baru peneroka Felda daripada 317 Tanah Rancangan Felda seluruh negara. Menurut beliau, GWGF akan memastikan Felda mampu melahirkan lebih banyak kejayaan dalam generasi Felda.

“Kita mesti tentukan Felda akan terus wujud selamanya kerana memikirkan generasi akan datang. Oleh itu, golongan yang mempunyai kepakaran khususnya generasi Felda sendiri tidak boleh berdiam diri sebaliknya merancang untuk wujudkan Felda dengan jayanya,” katanya.

Sementara itu, peneroka Felda, Siti Heja Abdullah, 54, berkata, gaya hidup penduduk tanah rancangan pada masa ini telah banyak berubah kepada taraf hidup yang lebih baik.

“Penting bagi kita penduduk dalam tanah rancangan ini agar menjaga apa yang disediakan kerajaan dengan sebaik mungkin. Penduduk Felda kecapi kesenangan dan seharusnya bersama-sama menjaga sekali gus mengekalkan kemakmuran yang ada ini,” katanya.

Pada acara berkenaan, pertandingan futsal dan bola jaring akhir turut diadakan untuk penyertaan generasi belia Felda dan hari keluarga dengan pelbagai acara seperti pertandingan mewarna dan pertandingan ‘motorcross’.


0 comments:

Powered by Blogger.