Nov 7, 2010

BN KINI KEMBALI - JGN. CABAR UMNO!!





Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pihak yang memandang rendah pada BN selepas dilanda tsunami pilihanraya umum ke 12 lalu bahawa kini ia telah kembali segar.

"Jangan merendahkan kita sebab BN kini sudah kembali segar, kalau setahun dulu dia fikir kita sudah goyang, dia fikir kita kalah, kita pun semangat ada turun sedikit tetapi sekarang kita kena beritahu rakyat, BN kembali segar,’katanya.

Apapun katanya untuk memastikan BN terus mendapat mandat dan sokongan padu rakyat, parti ini perlu bangkit dengan kekuatan baru yang dibina atas kesepakatan anggota parti dan juga keyakinan kepada tiga tonggak utama permuafakatan BN.

Beliau berkata untuk memastikan BN terus mendapat mandat dan sokongan padu rakyat, parti ini perlu bangkit dengan kekuatan baru yang dibina atas kesepakatan anggota parti dan juga keyakinan kepada tiga tonggak utama permuafakatan BN.

Muhyiddin menegaskan demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan 2010 di Dewan Wawasan, Menara PGRM di Kuala Lumpur Ahad. Serentak dengan itu Timbalan Perdana Menteri mahu semua pimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) diminta supaya sentiasa turun padang untuk bertemu rakyat agar mereka tahu bahawa BN merupakan satu-satunya parti yang terus berjuang untuk kepentingan rakyat.

Menurut beliau urusan untuk menggerakkan program parti ke peringkat akar umbi adalah tanggungjawab bersama kerana ia juga merupakan langkah persediaan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Saya cadangkan semua parti komponen parti turun lihat keadaan yang ada di bawah, cari jalan penyelesaian masalah mereka dan ambil tindakan yang lebih sesuai untuk bantu rakyat. Ini supaya mereka tahu bahawa BN adalah satu-satunya parti yang terus memperjuangkan kepentingan mereka dan akan menjamin masa depan mereka yang lebih baik lagi," katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN sendiri akan turun ke setiap negeri untuk memastikan setiap masalah yang dihadapi rakyat dapat diselesaikan sebelum pilihan raya umum akan datang.

"Pimpinan BN komited dengan apa yang nak kita lakukan, tentukan kita bekerja untuk memenuhi tuntutan rakyat, ini teras kepada apa yang kita lakukan, saya berbangga kerana inisiatif sudah bermula, tetapi langkah yang ada di hadapan kita adalah amat jauh sekali.

"Kita tidak boleh persiakan gerakan-gerakan yang dilakukan pihak di sana (pembangkang), masalah-masalah yang timbul hari ini baik ada hubung kait dengan sosial, ekonomi, politik dan pendidikan perkara ini kita akan uruskan, saya beri jaminan bukan saja saya akan dokong tetapi kita akan berusaha bersama-sama," katanya.

Muhyiddin, yang membayangkan bahawa pilihan raya umum akan diadakan dalam "masa terdekat", berkata yang menjadi ukuran terhadap segala usaha dan inisiatif BN adalah rakyat kerana merekalah yang akan menentukan sama ada parti ini akan terus berkuasa pada masa hadapan.

"Yang penting kita tinggal dua tahun lagi, saya sebut ini bukan sebab saya tahu bila pilihan raya, saya tidak tahu, Perdana Menteri yang lebih tahu, tetapi saya tidak kira tahun tetapi bulan, 30 bulan pun bulan juga.

"Jadi kita sebagai orang politik yang kita ambil kira selalunya kita kerja macam mana kuat sekalipun yang jadi ukuran adalah rakyat di bawah, sampai lima tahun dia pangkah ke tidak BN itu yang kita tentukan," katanya.

Muhyiddin berkata apabila pilihan raya umum hampir tiba nanti, Perdana Menteri pasti akan bertanyakan kepada beliau tentang situasi di bawah serta keadaan parti-parti komponen.

"Dia (Perdana Menteri) dapat maklumat tetapi saya kena maklumkan kepada beliau juga di mana kekuatan kita, di mana kelemahan kita, kalau Umno, Gerakan, MIC dan lain-lain ada kelemahan saya bagitahu sebab kita semua dalam satu.

Beliau berkata walaupun BN memenangi dua pilihan raya kecil baru-baru ini, parti itu tidak harus selesa kerana masih banyak lagi usaha yang perlu digerakkan bagi memastikan semangat dan sokongan rakyat akan terus kekal bersama BN.

"Kita perlu turun ke bawah, pasang telinga, dengar denyut dan degup jantung rakyat, apa yang mereka sebut dan bangkitkan, apa isu yang biasa mereka ketengahkan, masih banyak lagi kerja yang perlu kita laksanakan," katanya.

Justeru itu, katanya, BN dan parti-parti komponennya perlu melaksanakan proses transformasi politik dengan segera bagi mengukuhkan parti seiring dengan program transformasi kerajaan yang sedang berlaku pada masa kini.

"Pimpinan dalam kerajaan sudah bergerak, yang penting kita hendak tengok pimpinan politik dalam BN juga mesti bergerak sama, lebih cepat dan pantas seperti yang telah dilakukan dalam proses transformasi kerajaan," katanya.


Laporan dari Bernama

2 comments:

Singh Is Kinng said...

Alahai ... TPM pun jangan cepat sangat melatah dan cakap besar ... pada realiti BN masih susah lagi nak memang kawasan majoriti Cina dan kawasan2 bandar.

Anonymous said...

UMNO akan diterima rakyat bila muncul pemimpin yang jujur dan bersih. Malangnya sistem pemilihan pemimpin dalam UMNO tidak memungkinkan pemimpin sedemikian naik. Cuma mereka yang banyak wang (diperolehi secara tidak jujur seperti komisyen pembelian peralatan dan projek mega tanpa tender) mampu jadi pemimpin. Macam mana rakyat nak terima. Rakyat benci UMNO bukan kerana pembangkang bagus tapi kerana UMNO teruk.

Powered by Blogger.