Oct 21, 2010

NAJIB KATA DUKUNG 1 MALAYSIA, BERPAYUNG SUMPAH TANAH MELAYU !!





Ucapan dasar Datuk Seri Najib Tun Razak pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO memberi tumpuan mengingatkan tentang sejarah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai hak istimewa orang Melayu dan hal berkaitan dengannya yang kebelakangan ini cuba dipersoalkan oleh pembangkang dan kumpulan tertentu.

Perdana Menteri meminta mereka sedar polimek yang hangat mengenai isu berkenaan kebelakangan ini hanyalah perdebatan akademik saja kerana dari segi perundangan perkara berkenaan tidak boleh dipinda sekalipun mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen TANPA PERSETUJUAN Majlis Raja- Raja.

“Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak akan mampu mengubah setitik apa jua, tanpa kebenaran Majlis yang dianggotai sembilan orang Raja-Raja Melayu.

Dalam ucapan bertajuk : Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran – di Dewan merdeka PWTC ,Najib menegaskan dengan kata lain, sia-sia sahaja jerit pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit sekalipun darurat diisytiharkan, ia tetap tidak boleh disinggung. Menurut beliau ini sebenarnya asas teras kepada kontrak yang telah dimuafakat bapa-bapa pengasas mewakili kaum masing-masing di ambang kemerdekaan.

“Ia kemudiannya telah dimaktubkan sebagai kontrak sosial nasional, tertinta dalam perkara dan fasal Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi negara. Mahu tidak mahu, kita sewajibnya menghormati persepakatan mulia yang telah dilakukan kerana itulah kunci kepada kelangsungan dan survival kebangsaan,” katanya.

Dalam ucapan yang dianggap memberi tumpuan kepada hal politik,Perdana Menteri meminta rakyat dan ahli UMNO berwaspada terhadap saudagar mimpi yang membuai dogengan, menjadi petualang memintal kepalsuan, menenun kebencian, memperdagang fitnah, mengadun madu dengan racun sehingga sanggup menggadai segala-galanya.

Apa yang jadi masalah katanya, ketegangan akan timbul apabila sejarah dientengkan atau dilupakan akibat perjalanan masa atau juga apabila ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mentafsir semua itu ikut agenda sempit kelompok masing-masing. Presiden UMNO itu berkata, kerana yang demikianlah, pemimpin oportunis yang menangguk di air keruh, sebenarnya musang berbulu ayam, bermain api permusuhan dan memanipulasi keadaan tidak layak digelar pemimpin.

“Bertolak dari situlah, bagi bangsa Melayu khususnya perasaan mereka amat terhiris kerana ikrar budiman yang dipateri di ambang merdeka kini diungkit kembali, Sedangkan berpayung sumpah dan janji itulah kita sanggup buat pengorbanan terbesar bagi mencapai kemerdekaan yakni berkongsi pemilikan Tanah Melayu dengan kaum-kaum lain,” katanya.

Serentak dengan itu kata Perdana Menteri, penerimaan rakyat yang berasaskan prinsip jus soli atau hak tempat kelahiran berbanding prinsip jus sanguinis yakni hak darah dengan sekelip mata telah mentransformasi landskap sosiopolitik Tanah Melayu untuk selama-lamanya.

“Dek kerana itu, kita tidak boleh lagi hidup terpenjara kisah nan lalu tanpa melihat ke hadapan,” katanya dalam ucapan sarat prosa dengan pelbagai pelambangan.



Sumber : Bernama

Post by... Melayu CinDia



2 comments:

Anonymous said...

perghhh...hebat bang najib punya ucapan.....tak sabo nak tgk tv mlm nihh....

Anonymous said...

ko dengo tu puak2 pas. perjuangan ko tu sia2 jekkk. baik pi cangkul tanah, tanam sayur lagi beso paedahnya dari perjuangan pas yg sia2.

Powered by Blogger.