Oct 12, 2010

DRAMA ANWAR MENYAKITKAN - KHALID SEDIH TERPAKSA TIKAM SEMUA!!






Bila Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan hasrat beliau untuk bertanding jawatan nombor dua dalam PKR, beliau tampil dengan penuh gaya. Pertama beliau salahkan cara kempen yang ‘berpuak’ dan ‘serangan peribadi’ calon lain hingga menyebabkan beliau terpaksa masuk campur untuk “memperbetulkan keadaan ini”.

Kedua, wow ada satu jawatankuasa untuk ‘tawar-menawar’ yang anggotanya merupakan pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Jawatankuasa ini tugasnya adalah untuk bertemu dengan pemimpin tertentu bagi merundingkan buruk-baiknya Khalid masuk gelanggang. Jawatankuasa itu bukan calang-calang hinggakan Khalid berkata, “mereka ini bebas mengadakan rundingan dengan pemimpin parti yang berkaitan sehingga 15 Oktober.

“Sekiranya jawatankuasa menasihatkan tawaran saya ini tidak baik untuk parti dan ada cara yang lebih baik untuk saya berkhidmat kepada parti, saya akan akur dengan nasihat ini.” Ini merupakan sesuatu yang baru dalam politik, bukan saja PKR bahkan Malaysia. Mana pernah kita dengar calon yang hendak bertanding lantik jawatankuasa rasmi untuk melobi bagi pihak empunya badan dan mempunyai kuasa menentukan boleh ke tidak beliau bertanding.

Ketiga, selepas menyalahkan ‘calon lain’ dan bentuk jawatankuasa melobi, Khalid dengan selamba umum, manifesto beliau jika hasratnya bertanding diterima dengan tema ‘Memperkasakan Reformasi’ dan mengariskan lima perkara pokok yang akan diperjuangkan beliau. Sesuatu yang menarik untuk diulas adalah, Khalid yang kelihatan serius untuk menonjolkan dirinya sebagai ‘contoh tauladan’ ini hanya mempunyai empat pencalonan dari 204 cabang, tolak 9 yang tidak bermesyuarat atau ditangguhkan.

Maknanya beliau hanya terima satu peratus sahaja sokongan dalam bentuk pencalonan untuk jawatan yang beliau tawarkan diri itu. Tetapi apakah yang menyebabkan beliau begitu berani?

Jawapannya adalah kerana PKR ini ‘parti koboi’ dimana hukum-hakam biasa dalam politik, tidak begitu diterima pakai. Khalid memahami, apabila PKR meminda perlembagaan parti itu, dengan membenarkan semua ahli mengundi maka yang akan dipilih adalah yang paling popular, bukan yang paling berjasa atau paling pandai.

Sementelah di atas kertas, Khalid paling popular, cerdik dan berjasa tambahan pula, berbanding dengan semua calon lain, beliau ada jawatan, Menteri Besar, ada jentera, ada duit, ada pangkat dan paling penting, beliau disokong oleh kelompok teras dalam PKR. Soal pencalonan tidak susah, hanya perlukan dua pencalonan untuk layak bertanding, sebab itu Khalid tidak kecoh-kecoh hendak berebut benda yang senang dapat.

Sebagai bekas pemimpin konglomerat Malaysia, beliau arif dengan sepak terajang (intrik) politik dalaman, bottom line dalam pertandingan ini adalah kemenangan, bukannya siapa memperolehi pencalonan terbanyak. Sedangkan calon lain, berebut untuk mendapatkan benda yang senang (dua pencalonan) sehingga bercalar satu badan. Khalid relaks saja, tengok sambil pelan-pelan menonjolkan dirinya sebagai ‘pemimpin tauladan’ dengan merebut dokongan semua kelompok teras dalam PKR.

Kalau kita analisis, asas kepada sokongan PKR datangnya dari empat kelompok, pertama NGO Islam seperti Abim dan JIM, kedua NGO hak asasi manusia seperti Tenaganita dan Hakam, ketiga, kesatuan sekerja dan kelompok bebas yang menggelarkan diri mereka ‘reformis’. Khalid tahu perkara ini, sebab itu kita lihat, jawatankuasa melobi beliau dianggotai oleh pemimpin utama empat kelompok teras ini.

Dr Muhamad Nur Manuty, bekas Presiden Abim, adalah salah seorang dari empat anggota jawatankuasa melobi ini. Pengaruh Mat Nur Manuty dalam NGO Islam itu dan penyokongnya dalam PKR amat kuat. Dengan mengambil Mat Nur Manuty dalam ‘team’ beliau, maka Khalid Ibrahim boleh dapat ‘busuk-busuk’ separuh dari mereka yang dijangka mengundi seorang lagi calon Timbalan Presiden PKR, iaitu Mustapa Kamil Ayub.

Kedua, Khalid namakan Irene Fernandez, boss Tenaganita, nama yang well known dalam dunia NGO Malaysia dan antarabangsa. Dengan Irene, di pihak beliau, tentulah golongan ahli-ahli PKR dari kelompok NGO akan mengundi Khalid. Nama Irene pada kelompok NGO hak asasi manusia di Malaysia ini sudah setaraf ‘santa’ atau orang Melayu kata ‘wali’.

Nama lain adalah, Tian Chua, anggota asal PKR, ketika parti itu diasaskan pada 14 April 1999, Tian Chua adalah Naib Presidennya, kaki demo, tidak kejar jawatan, kuat bekerja dan paling penting rapat dengan kelompok reformis. Bukan rahsia lagi, selepas Ezam Mohd Nor meninggalkan PKR, hanya Tian Chua yang disanjung sebagai pemimpin puak reformis dalam parti itu. Tian Chua sanggup berlokap dengan reformis, sanggup duduk depan trak FRU, bahkan ada kes gigit polis.

Sebab itu, pada sifir politik Khalid, bila Tian Chua bersama dengannya, maka mudah saja, untuk meneutralkan puak-puak reformis ini yang selama ini ‘berbulu’ dengan gaya kepimpinan beliau yang terlalu korporat itu. Dan seorang yang paling penting, hingga Khalid umum, sebagai “pengurus operasi kempen saya”, Syed Shahir Syed Mohamud, Presiden MTUC, merangkap bekas pemimpin kanan PRM.

Foktor Syed Shahir inilah faktor paling penting yang tiada dalam kem Azmin Ali, Zaid Ibrahim apatah lagi Mustapa Kamil Ayub. Kenapa beliau penting, sampaikan Khalid panggil dia ‘Tuan Syed’, kerana selain Presiden MTUC dan bekas pemimpin PRM, Syed Shahir adalah ketua jawatankuasa Maufaka cabang-cabang PKR Selangor yang kuat sokongan akar umbinya. Bak kata seorang ahli akar umbi PKR Selangor dalam Facebook rasmi Khalid “22 cabang Selangor, satu cabang bagi 1000 undi jadilah 22, 000 belum masuk undi undi YB Exco, YB Adun.....comfirm menang la…,” Selain itu, selepas Syed Husin Ali bersara dari politik, tidak ada lagi pemimpin PRM yang ‘dibawa’ dalam kem mana-mana calon Timbalan Presiden PKR.

Cabang Gombak yang diketuai Azmin sendiri memberikan sokongan kepada Dr Xavier Jayakumar, berbanding seorang lagi pemimpin PRM, R Sivarasa untuk jawatan Naib Presiden parti itu. Seolah-olahnya, jasa PRM yang sanggup kuburkan parti mereka untuk bergabung dengan PKR seperti dilupakan selepas Syed Husin Ali tidak mahu lagi memegang jawatan politik.

Hanya Khalid, yang menawarkan ‘harga diri’ yang sepatutnya untuk kelompok bekas ahli PRM dalam PKR dengan menjadikan Syed Shahir sebagai orang kanannya. Sebab itu, peranan ‘Tuan Syed’ amat besar pada Khalid, kata beliau, “saya percaya beliau (Syed Shahir) boleh menolong kempen saya berjalan dengan sistematik, bersih, professional dan adil,”.

Dan, jangan terkejut, empat nama ini, Mat Nur Manuty, Irene Fernandez, Tian Chua dan Syed Shahir bukan saja jawatankuasa melobi untuk Khalid, kerana saya percaya, inilah juga gandingan pasukan Naib Presiden Khalid Ibrahim. Berserta Nurul Izzah, yang akan ‘diselitkan’ di mana-mana di antara empat nama besar, berpengalaman dan teruji yang menjadi pasukan impian Menteri Besar Selangor ini.

Akhirnya, Khalid Ibrahim seperti selalu, menunjukkan taringnya, hanya beberapa langkah sebelum garisan penamat. Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri tiada isu besar untuk menolak Khalid. Kalau Zaid, boleh dikatakan, orang baru sehingga ditonjolkan ‘semangat 1998’ dalam blog Anwar untuk mengingatkan ahli parti tentang orang-orang lama seperti Azmin.

Kalau Mustapa Kamil Ayub, boleh dilekehkan, kerana tidak pernah menang apa-apa jawatan dalam parti, mahupun pilihanraya. Tapi ‘aura’ dan kematangan Khalid susah untuk ‘discredit’ begitu sahaja. Boleh cuba, tapi natijahnya akan memalukan imej PKR sendiri, yang ada pada Anwar, jika beliau masih mahukan Azmin sebagai orang nombor dua, hanyalah merayu pada Khalid, dengan barangkali, beberapa tawar-menawar.

Berdoa dengan pujuk rayunya, Khalid tarik ‘hand break’ . Mungkin masa perjumpaan antara jawatankuasa pelobi Khalid dengan Anwar sehari dua ini, Anwar boleh mula rundingan itu dengan pantun ini.

Kalau tidak kelapa puan, Tidaklah puan kelapa bali; Harap-harap kepada tuan, Tidak tuan siapa lagi?


Post by... Melayu CinDia

1 comments:

Powered by Blogger.